Panduan Solat Terawih Menurut JAKIM
Setiap tahun, seluruh umat Islam berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia dan selama itulah juga kita dapati di mana-mana sahaja dalam kelompok masyarakat Islam di Malaysia, memeriahkan malam-malam pada bulan yang mulia ini dengan ibadat solat sunat Tarawih, sunat Witir, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan. Sama-samalah kita menghidup dan memeriahkan malam-malam pada bulan Ramadhan yang mulia bagi tahun ini, dengan tujuan mencapai keredhaan Allah dan kelebihan beribadat di malam “LailatulQadr” seperti maksud firman Allah SWT pada ayat 3, surah al-Qadr yang bermaksud: “Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan yang lain.”
Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Muslim yang bererti: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya
yang telah lalu”, Semoga risalah kecil ini membantu kita mengetahui atau mengulangi kembali cara solat sunat Tarawih dan Witir supaya kedatangan Ramadhan tahun ini lebih berguna dan bermanfaat untuk kita.
Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan, sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sunat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat solat orang-orang Islam.Pada zaman Rasulullah SAW, solat Tarawih dikerjakan sebanyak lapan rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sebanyak dua puluh rakaat. Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA, beliau melaksanakannya sebanyak dua puluh rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu. Solat sunat Tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan, lazimnya pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr. Pada tiap-tiap rakaat yang
kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadhan iaitu bermula dari surah at-Takathur hingga kepada surah al-Lahab.
Bagi memudahkan segala pembelajaran dan urusan pengetahuan tentang ilmu solat terawih. saya mencadangkan anda mendownload file berformat PDF dari JAKIM yang menerangkan segala maklumat solat sunat terawih dengan lengkap dan ia sangat membantu anda.
(Klik sini untuk download softcopy PDF file panduan solat sunat terawih)



